Sunday 17 August 2014

Inap desa Malaysia tersohor


BACHOK 16 Ogos - Program inap desa yang memberi peluang kepada pelancong menyelami kehidupan masyarakat kampung akan terus dipromosi sebagai antara produk pelancongan utama negara.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, usaha Malaysia membangunkan program inap desa mendapat pengiktirafan tertinggi Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO).

Katanya, menerusi UNWTO Ulysse Award 2012, inap desa di negara ini diiktiraf sebagai antara produk paling unik di dunia selain terbukti mampu menjana pertumbuhan ekonomi masyarakat luar bandar.

"Tahun lalu, kedatangan pelancong menerusi Program Pengalaman Homestay Malaysia mencecah 350,954 orang berbanding hanya 325,258 pada 2012 dengan peningkatan kehadiran pelancong sebanyak 7.9 peratus.

"Pendapatan menerusi inap desa bagi tempoh sama pula mencecah sebanyak RM21.57 juta berbanding hanya RM18.54 juta pada 2012. "Pendapatan ini diterima secara tunai oleh 3,486 pengusaha inap desa yang menawarkan 4,834 bilik penginapan kepada pelancong tanpa melibatkan orang tengah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Pengusaha Homestay dan Pelancaran Logo Baharu Pengalaman Homestay Malaysia peringkat negeri di sini semalam. Yang hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain dan Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Aidil Afizie Daud.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.