Saturday 12 April 2014

Kolam air panas jadi tumpuan

Sekumpulan pengunjung berbual sebelum membayar tiket masuk di Kolam Air Panas Annah Rais,
Mambong, kiri-kira 100 kilometer dari Kuching, Sarawak.

Banyak cerita mengatakan bahawa air panas di kolam semula jadi mujarab menyembuhkan pelbagai jenis penyakit kulit. Berikutan itu, kolam air panas di mana-mana sahaja akan menjadi tumpuan orang ramai untuk 'mencuba' nasib bagi memulihkan penderitaan yang dialami. Itu belum lagi pengunjung yang datang sekadar untuk mandi-manda dan bersantai.

Begitulah yang berlaku di kolam air panas Annah Rais yang berada di kaki bukit Puncak Borneo, Mambong, kira-kira 100 kilometer dari Kuching, Sarawak. Kolam itu mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Ketua Kampung Sindah Negri, K.K.Dominic Yon A/k Jaok, 75, memberitahu kolam air panas itu terletak di rumah panjang dan terdapat satu cerita yang popular dikaitkan dengannya.

Menurutnya, satu ketika dahulu, seorang lelaki berbangsa Cina yang lumpuh dari leher telah dibawa keluarganya untuk mandi di kolam berkenaan.
“Mereka telah membawanya untuk berendam di kolam air panas ini bagi merawat penyakitnya. “Difahamkan setelah dua hingga tiga kali lelaki Cina itu datang berendam di kolam tersebut, keajaiban berlaku apabila lelaki itu dapat berjalan semula," katanya kepada S2.

Tambahnya, kolam itu sentiasa menjadi tumpuan masyarakat dalam mahupun luar negara bagi menikmati kesegaran air panas semula jadi yang dipercayai memiliki pelbagai khasiat.

“Lebih-lebih lagi pada hujung minggu dan cuti umum, pasti banyak keluarga dan anak muda datang ke sini sambil membawa bekalan makanan untuk berkelah.
“Tempat ini memang sesuai untuk dijadikan kawasan riadah keluarga kerana selain mempunyai kolam air panas, lokasi ini juga memiliki sungai yang jernih. Jadi, pengunjung dapat merasai kesegaran mandi air panas dan air sejuk sekali gus," ujarnya.

Jelasnya, kolam air panas yang diusahakan oleh penduduk kampung itu dikenakan bayaran masuk RM3 bagi kanak-kanak tujuh hingga 17 tahun, manakala dewasa RM5 seorang. Kutipan yuran masuk itu digunakan bagi membaiki dan memelihara kawasan sekitar kolam air panas berkenaan.
Tinjauan S2 mendapati tujuan pengunjung lebih kepada beriadah seperti mana Nor Adira Krisnasamy, 28, yang datang bersama keluarganya.

Katanya, beliau selalu datang ke situ untuk beriadah bersama keluarga.
“Persekitaran yang redup kerana dikelilingi pokok amat sesuai dijadikan lokasi berehat bersama keluarga. Malah dengan kemudahan seperti tandas, tempat menukar pakaian dan kedai menjual makanan serta minuman, sudah tentu kolam air panas ini menjadi tumpuan hujung minggu. “Selain itu, kita juga boleh membuat barbeku di sini untuk menjamu selera," ujarnya.

Sementara itu, Nur Izzati Mahat, 22, yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Sarawak berkata, kolam air panas itu menjadi tempat bagi kebanyakan pelajar dan golongan muda beriadah di hujung minggu.
“Biasanya, kami akan datang ke sini semasa cuti panjang bersama kawan-kawan untuk meraikan hari jadi kenalan," jelasnya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.